TUMPAT: Khidmat Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden Pas bukan sahaja masih diperlukan oleh parti itu malah seluruh dunia Islam.
Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Mohd. Asri Mat Daud berkata, ramai ulama dari luar negara mengambil pandangan Abdul Hadi dalam isu-isu berkaitan geopolitik antarabangsa, Palestin, permuafakatan umat Islam seluruh dunia dan dalam hal-hal berkaitan peperangan.
“Beliau bukan Perdana Menteri, tetapi pandangan beliau diterima oleh dunia Islam. Jadi survival beliau masih jauh dan masih diperlukan untuk memimpin sebuah gerakan Islam termasuk Pas sendiri.
“Apatah lagi Pas kini sudah mempunyai harapan untuk memegang tampuk kepemimpinan negara,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sijil Perakuan Halal Malaysia Kepada Usahawan Nasi Berlauk Kak Chik di Kampung Berangan, di sini semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri itu berkata, tidak timbul sebarang isu yang mencadangkan supaya Abdul Hadi berundur dari pada jawatannya sebagai Presiden Pas pada pemilihan parti yang dijangka berlangsung di Kedah, September nanti.
Katanya, cadangan atau usul agar Abdul Hadi berundur hanya satu naratif yang dimainkan setiap kali tiba pemilihan parti.
“Sebenarnya tidak ada isu pun dan tentu sekali usul berkenaan tidak datang dari Pas.
“Malah tidak pernah berlaku dalam mana-mana mesyuarat cawangan parti ini dan kita tidak pasti dari mana datangnya saranan atau usul sebegini.
“Ia adalah naratif yang dimainkan setiap kali pemilihan Pas. Dulu sudah timbul dan sekarang timbul lagi. Jadi ia sekadar naratif yang berlegar-legar dan bukan satu desakan daripada mana-mana pihak dalam Pas,” ujarnya.
Beliau berkata, Pas sudah berada di hadapan berkaitan meremajakan parti dengan calon-calon baharu daripada golongan muda sama ada lelaki atau wanita.
“Meremajakan tidak semestinya presiden itu dalam kalangan orang muda tetapi ia lebih menjurus kepada aspek-aspek teknikal termasuk pemilihan calon dan skop lebih meluas,” ujarnya.
Mengulas isu sama, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, khidmat Abdul Hadi masih diperlukan parti itu dan tiada sebab beliau mengundurkan diri daripada jawatan tersebut buat masa ini.
Katanya, tahap kesihatan Abdul Hadi juga baik dan masih menjalankan tugas seperti biasa.
“Alhamdulillah, (Abdul Hadi) masih sihat dan pemikirannya juga sangat tajam. Tiada sebab untuk dia berundur ketika ini kerana beliau masih meneruskan tugas untuk mengetuai parti seperti biasa,” katanya.