KOTA MARUDU: Gempa bumi lemah yang berlaku pada jarak 27 kilometer dari daerah ini pada pukul 10.39 pagi tadi tidak mengakibatkan berlaku kerosakan pada struktur bangunan.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan, berdasarkan pemantauan yang dilakukan, penduduk setempat juga tidak merasai gegaran.
“Pihak kami menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian gempa bumi pada pukul 10.39 pagi dan pemantauan terus dilakukan di sekitar kawasan Pekan Kota Marudu.
“Pemantauan di beberapa lokasi penting seperti hospital, hotel, institusi kewangan dan stesen minyak mendapati tiada sebarang kerosakan yang berlaku,” kata PGO dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, operasi pemantauan anggota bomba ditamatkan pada pukul 11.41 pagi.
Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) hari ini melaporkan gempa bumi lemah bermagnitud 3.8 dengan kedalaman 10 kilometer (km) berlaku pada jarak 2 km dari Selatan Kota Marudu.