SHAH ALAM: Pembukaan dan pengoperasian taman asuhan kanak-kanak (taska) di negeri ini akan diseragamkan menerusi garis panduan baharu bermula Julai depan.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Shaari berkata, pembentukan garis panduan tersebut akan membantu meningkatkan jumlah pendaftaran taska di negeri ini dengan kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
“Kerajaan negeri menunjukkan komitmen serius untuk meningkatkan jumlah pendaftaran taska yang mana, setakat Januari lalu, 959 taska berdaftar di Selangor, manakala 164 taska lagi dikesan tidak berdaftar.
“Selain itu, kerajaan negeri akan melaksanakan beberapa beberapa strategi termasuk menyediakan Geran Pusat Jagaan (GPJ); menubuhkan Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Perkhidmatan Penjagaan Negeri Selangor (JKPPP).
“Memberikan notis peringatan serta tindakan penguatkuasaan selaras dengan peruntukan Akta 308 iaitu Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984; dan mengaktifan One Stop Centre (OSC) di peringkat negeri dan daerah bagi memudahcara proses pendaftaran,” katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15, hari ini.
Beliau menjawab soalan Pang Sock Tao (PH-Kuala Kubu Baharu) berkenaan jumlah pengusaha taska yang berdaftar dan tidak berdaftar serta usaha kerajaan untuk meningkatkan pendaftaran.
Tambahnya, sehingga Disember lalu, sebanyak 201 buah taska dibantu sehingga lulus pendaftaran.
Jelas Anfaal, garis panduan tersebut juga akan membantu mengatasi halangan dalam proses pendaftaran taska termasuk prosedur di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Kedua adalah kewangan dan ketiga adalah pelan yang mana sesetengah bangunan memerlukan pelan asal yang akan turut melibatkan kos (untuk mendapatkan pelan asal bangunan).
“Sekiranya terdapat struktur tambahan pada binaan asal, mereka perlu dapat kelulusan dan sebahagiannya mengambil masa yang lama serta latihan kepada pengasuh yang dianggap bebanan kepada operator.
“Kita tidak boleh menggunakan pendekatan hukuman tetapi memudah cara pihak mereka untuk mendaftar justeru pihak kerajaan negeri menerusi JKKP akan mengeluarkan garis panduan yang memudahkan pendaftaran,” katanya.
Menjawab soalan berasingan, Anfaal memaklumkan, sepanjang 2024 sebanyak 1,300 kes dicatatkan di Selangor melibatkan 871 kes keganasan terhadap wanita, lelaki (286 kes) manakala kanak-kanak sejumlah 143 kes berdasarkan laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Tahun ini, bermula April hingga Disember, kerajaan negeri terus memperluas
program kesedaran awam tentang keganasan rumah tangga menerusi pelaksanaan Kempen Menentang Keganasan Berasaskan Gender.
“Kempen ini akan dilaksanakan dalam format siri jelajah ke daerah di Selangor dengan kerjasama strategik semua pemegang taruh termasuk pihak berkuasa tempatan, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan pemimpin
komuniti,” katanya. – UTUSAN