PETALING JAYA: Pas tidak memerlukan pandangan DAP dalam menentukan barisan kepimpinan pada pemilihan tahun ini.
Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik berkata, sebagai parti Islam, Pas masih memerlukan gandingan Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menduduki kerusi Presiden serta Timbalan Presiden sejak 2015.
Jelasnya, selain mempunyai kefaqihan dalam agama, kedua-duanya mempunyai akhlak soleh yang menepati ciri-ciri kepimpinan dikehendaki Islam.
“Jadi kepada sesiapa pun tidak perlu bermazhabkan DAP dalam menentukan kepimpinan parti ini.
“Walaupun dasar parti tidak menghalang pertandingan di mana-mana posisi namun kedudukan presiden dan timbalan presiden masih memerlukan dua tokoh tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.
Untuk rekod, kali terakhir jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan pada 10 tahun lalu.
Pemilihan terakhir parti itu bagi sesi 2023-2025 berlangsung dua tahun lalu turut menyaksikan tiada pertandingan jawatan Naib Presiden yang dimenangi oleh Datuk Seri Idris Ahmad, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Datuk Mohd Amar Abdullah.