JOHOR BAHRU: Kontinjen Johor merampas kembali kejuaraan dalam Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) ke -7 yang melabuhkan tirainya kelmarin.
Johor muncul juara selepas mengutip 58 mata, menewaskan kontinjen Kelantan di tempat kedua, manakala juara edisi lalu, Kedah meraih tempat ketiga.
Ketua kontinjen Johor, Mohd. Zaki Daud berkata, ia merupakan kejuraan kali ketiga selepas muncul johan kali pertama pada 2019.
“Kejayaan ini hasil daripada kerja keras dan komitmen semua pemain yang fokus ketika menjalani latihan.
“Kerja berpasukan serta kerjasama amat penting dalam memastikan kemenangan ini, selain sokongan tidak berbelah-bahagi daripada persatuan,” katanya kepada Utusan Malaysia pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah FLLSPG ke-27 dekat sini.
Tambahnya, pasukan Johor akan meneruskan latihan dalam meningkatkan prestasi untuk menghadapi kejohanan akan datang serta berusaha menaikkan nama negeri itu di peta dunia layang-layang antarabangsa.
Sementara itu, Kategori Cabaran Rokkaku Antarabangsa pula dimenangi peserta China, Yao Qing Shan manakala naib juara diraih Dani Cahyo dari Indonesia dan peserta negara, Mohd. Arif Sulaiman muncul tempat ketiga.
Mohd. Arif turut diumumkan sebagai juara kategori Cabaran Rokkaku Korporat, Kecekapan Pertunjukan Solo dan Pelayang Paling Aktif.
Kategori Layang-Layang Warna-Warni dan Harmoni pula dimenangi pasangan dari Belanda Herman Plattje dan Martina Plattje.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Datuk Bandar Pasir Gudang (MBPG), Datuk Mustaffa Kamal Samsuddin dan majlis itu turut dihadiri Presiden Majlis Pelayang Malaysia, Datuk A. Rahim Nin yang juga Yang Dipertua Persatuan Pelayang Johor.