KANGAR: Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) telah menunjukkan komitmen tinggi dalam memperkasakan bidang pendidikan khususnya di negeri ini.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, usaha ini bukan sekadar menyediakan platform pembelajaran namun turut melahirkan generasi muda berkemahiran, berakhlak tinggi dan mampu bersaing di peringkat global.
Baginda bertitah, FCoEE berpotensi mencipta impak yang lebih besar bukan sahaja di negeri ini, namun turut melibatkan seluruh negara dan persada dunia.
“Sebagai Raja Pemerintah, beta sentiasa prihatin terhadap kesejahteraan rakyat dan kemajuan agama. Pendidikan berkualiti adalah keutamaan, bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi juga dalam pembentukan akhlak dan integriti,” titah baginda selepas berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pelancaran FCoEE sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan (SBMJ) di Hotel Seri Malaysia, di sini, semalam.
Berangkat sama pada majlis itu adalah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengerusi FCoEE, Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin dan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Sirajuddin turut menzahirkan harapan agar FCoEE dapat terus menjadi peneraju utama dalam menjadikan Perlis sebagai negeri contoh di negara ini.
“Dengan usaha yang berterusan, Perlis bukan sahaja dapat ditempatkan di peta dunia, malah mampu melahirkan anak-anak negeri yang cemerlang dalam akademik serta bersedia menghadapi cabaran masa depan dengan keyakinan dan jati diri yang kukuh,” titah baginda.
Dalam perkembangan sama, Kamarudin sewaktu berucap berkata, sepanjang tahun lalu, FCoEE telah melaksanakan 36 program berimpak tinggi bagi perkembangan pendidikan di negeri ini hasil kerjasama dengan pelbagai agensi dan organisasi.-UTUSAN