SHAH ALAM: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri menerusi Skuad diarah menyelenggara pokok-pokok seliaan masing-masing bagi mengelak musibah sehingga meragut nyawa.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, ia perlu dilakukan secara berkala susulan kekerapa kejadian ribut dan hujan lebat, mutakhir ini.
“Banyak pokok kita hendak hijaukan bandar raya kita. Kita tanam dan jaga pokok, cuma kadang-kadang ia membawa kesan juga apabila hujan lebat dan angin kuat dan berlaku musibah pokok tumbang.
“Kita akan kerah Skuad Pantas untuk selenggara pokok, lebih banyak kerja-kerja penyelenggaraan secara berkala dapat dilakukan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan seorang bapa maut apabila sebuah kereta yang dinaiki bersama anak perempuannya dihempap sebatang pokok ketika melalui Jalan Batu 3, Kampung Bukit Kuda, Klang.
Dalam kejadian itu, kematian Allahyarham Azhehari Ansar, 46, disahkan petugas Kementerian Kesihatan, bagaimanapun kanak-kanak yang turut berada dalam kereta jenis Mercedez itu terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Jelas Suee Lim, beliau turut mengarahkan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) melantik kontraktor khas serta merta bagi menyelenggara pokok-pokok berisiko termasuk mencantas atau menebang terus.
“Sebelum ini RM12 juta dibelanjakan untuk menyelenggara pokok, tahun ini kita minta (PBT) tambah lebih lagi, kalau boleh sampai RM15 juta pun tak apa sebab skop PBT luas (bagi MBDK).
“Kita (MBDK) akan siasat secara terperinci untuk memastikan insiden sedemikian tidak berulang pada masa akan datang dan kita akan perhebatkan lagi pasukan penyelenggaraan pokok di PBT untuk tambah peruntukan supaya lebih banyak pasukan,” ujarnya. – UTUSAN