Erdogan pemimpin berani bertindak, tegas perjuang isu Palestin – Anwar - Utusan Malaysia

Erdogan pemimpin berani bertindak, tegas perjuang isu Palestin – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan benar-benar bertindak dan menunjukkan ketegasan moral serta berani dalam memperjuangkan isu Palestin.

Perdana Menteri berkata, Erdogan dengan lantang bersuara menentang perampasan, penjajahan, dan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin ketika ramai pemimpin lain sanggup mengorbankan prinsip demi kepentingan sendiri.

Beliau berkata, sokongan Türkiye bukan sekadar kata-kata tetapi bertindak secara nyata, konsisten dan teguh.

“Ketika yang lain masih ragu-ragu, beliau tetap berpendirian teguh. Dengan tumpuan dunia yang semakin meningkat, beliau memastikan bahawa sokongan terhadap Palestin diterjemahkan kepada tindakan yang bermakna,” katanya ketika berucap pada majlis syarahan umum Erdogan sempena lawatan Presiden Turkiye itu ke negara ini di sini hari ini.

Menurut Anwar, hampir tiga dekad lalu, beliau menulis buku The Asian Renaissance mengenai bagaimana negara dan bangsa di rantau ini bangkit daripada penjajahan, mengambil kembali hak mereka dan menempa laluan baharu menuju kemodenan.

Hari ini, kata Anwar, fenomena serupa berlaku di Türkiye, satu kebangkitan teknologi yang membawa negara ini ke sempadan baharu.

Katanya, kejayaan luar biasa Dron Bayraktar adalah satu pencapaian industri yang hebat, projek kenderaan elektrik, TOGG; kemajuan dalam teknologi angkasa lepas serta evolusi pesat keupayaan kecerdasan buatan semuanya menunjukkan sebuah negara yang tidak terikat dengan situasi lama.

Katanya, lebih dua dekad, beliau memimpin Türkiye melalui era transformasi yang luar biasa, malah membentuk semula corak pentadbiran Türkiye, mengembalikan kebanggaan nasional, dan meletakkan Türkiye sebagai pemain yang tidak dapat diketepikan di pentas global.

Hasilnya, kata beliau, Türkiye adalah sebuah negara yang bangkit dari segi ekonomi, pembaharuan infrastruktur keberanian diplomasi didorong kepimpinan yang yakin dengan diri sendiri serta terlibat secara aktif di peringkat antarabangsa.

“Dari sudut geopolitik, Erdoğan telah membawa Türkiye ke tahap kuasa global dan membina reputasi sebagai perantara yang dipercayai dalam usaha damai di Asia Barat dan Eropah.

“Presiden Erdoğan memahami bahawa sejarah tidak menyebelahi mereka yang lemah, sebaliknya ia memihak kepada mereka yang berani,” katanya.

Pada masa sama, Anwar turut menyifatkan persahabatannya bersama Erdogan yang terjalin bukan atas dasar kepentingan sementara, tetapi atas solidariti yang teguh.

“Dalam saat kesukaran peribadi, beliau menghulurkan tangan ketika ramai yang berpaling. Sokongan beliau bukan sekadar formaliti atau bertujuan untuk kepentingan politik.

“Ia adalah satu ekspresi persaudaraan yang tulen. Saya tidak pernah melupakannya,” katanya dalam nada sebak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya