BATU PAHAT: Sebanyak enam buah sekolah di seluruh negara dijadikan sebagai sekolah rintis bagi Sekolah Digital di seluruh negara dalam meningkatkan kualiti pendidikan berasaskan perkembangan teknologi terkini.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, projek rintis Sekolah Digital anjuran Yayasan Didik Negara (YDN) itu telah dilaksanakan di lima buah sekolah rendah terpilih di Sabah, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Lapasan, SK Pengalat Kecil, SK Buang, SK Tansau dan SK Pekan Putatan dan sebuah di Johor, iaitu SK Seri Telok di Parit Yaani, dekat sini.
Katanya, SK Pulau Aman di Pulau Pinang turut akan disenaraikan sebagai Sekolah Digital seperti disarankan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
“Bagaimanapun, kejayaan pelaksanaan pendidikan digital memerlukan perancangan yang teliti, sumber mencukupi dan pembangunan profesional yang berterusan bagi para pendidik.
“Adalah penting untuk menangani jurang digital dan memastikan semua murid mempunyai akses terhadap teknologi dan sumber pendidikan digital berkualiti tinggi,” katanya semasa meluncurkan Sekolah Digital di SK Seri Telok semalam.
Azman berkata, Sekolah Digital merupakan satu konsep yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan untuk memperkemaskan dan memperkukuhkan pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital (DPD), bagi memastikan kesemua enam strategik ditetapkan dapat dicapai menerusi gerak kerja yang berstruktur dan terancang.
“KPM komited menjadikan 10,237 buah sekolah rendah dan menengah mencapai sasaran sebagai Sekolah Digital berlandaskan kira-kira 90 peratus golongan pendidik dan 45 peratus pelajar aktif dalam penggunaan Inisiatif Pembelajaran Pendidikan Digital (DELIMa),” katanya.-UTUSAN.