NARATHIWAT, THAILAND: Penyanyi sohor Kelantan Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, atau Eda Ezrin tidak berkecil hati ‘posisinya’ dalam projek lagu Bea Sobar Bea Raya digantikan dengan artis wanita lain.
Dia yang sedang menjalani tahanan di Penjara Wilayah Narathiwat di sini melihat penggantian itu membuka rezeki kepada rakan artis lain yang turut sama bergiat dalam industri lagu-lagu dialek Kelantan.
“Saya tidak kecil hati, rezeki Allah itu luas. Insya-Allah selepas dibebaskan nanti ada lagi rezeki untuk saya.
“Saya harap pengganti dapat buat yang terbaik supaya industri lagu-lagu dialek Kelantan terus berkembang,” katanya ketika ditemui di Penjara Wilayah Narathiwat di sini semalam.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, penyanyi dari Thailand, Deqnee Dusongnyo dinamakan sebagai penyanyi baharu untuk lagu Bea Soba Bea Raya ciptaan komposer Eddie Hamid.
Penyanyi berusia 24 tahun itu akan bergandingan dengan Den Manjo dan dua lagi artis lain iaitu Man Khan dan Rosalinda.
Mahkamah Wilayah Narathiwat menetapkan keputusan kes dadah melibatkan penyanyi lagu Bea Sobar Bea, Eda Ezrin dan suaminya, Mohd. Affendi Ahmad, 35, serta empat lagi rakannya pada 6 Mac ini.
Keputusan itu dibuat hakim selepas mendengar keterangan semua tertuduh dan saksi pendakwaan sepanjang prosiding perbicaraan yang berlangsung tiga hari iaitu pada 11, 13 dan 14 Februari lalu.
Sebelum ini, Eda Ezrin dan suaminya serta empat lagi rakan mereka iaitu Erdieka Mohd. Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33 dan Zuhaira Nasrin, 26, mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah.
Bagaimanapun mereka tidak mengaku bersalah atas tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda di sebuah hotel di Sungai Golok dekat sini.
Sementara itu, Erdieka dan Zuhaira mengaku bersalah atas dua pertuduhan memasuki Thailand secara haram dan tiada dokumen perjalanan atau pasport sah untuk berada di negara ini. – UTUSAN