Duta Enclave: Tarikh keputusan akan ditetapkan kemudian - Utusan Malaysia

Duta Enclave: Tarikh keputusan akan ditetapkan kemudian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keputusan berhubung pertikaian tanah seluas 106.542 hektar di Jalan Duta (kini dikenali sebagai Jalan Tuanku Abdul Halim) akan diputuskan pada satu tarikh yang akan ditentukan kelak.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Lee Swee Seng yang bersidang bersama-sama Datuk Azimah Omar dan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan demikian selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat.

Pada prosiding hari ini, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan menghujahkan bahawa tanah Duta Enclave tidak boleh diserahkan semula kepada Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd.

Bagaimanapun, syarikat yang kini berada dalam likuidasi itu berhak mendapat ganti rugi dan keuntungan Mesne (Mesne profit). Keuntungan Mesne adalah ganti rugi yang perlu dibayar kepada pemilik sah harta oleh seseorang yang mendudukinya tanpa kebenaran.

“Menurut Seksyen 29(1)(b) Akta Prosiding Kerajaan 1956, Semantan Estate tidak berhak mendapat semula tanah tersebut. Namun berdasarkan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan, Semantan Estate berhak mendapat pampasan berdasarkan nilai tanah pada masa pengambilan pada tahun Disember 1956.

“Semantan Estate juga layak mendapat keuntungan Mesne yang dikira tarikh tanah tersebut diambil oleh Kerajaan pada 1956 sehingga tarikh mahkamah ini membuat keputusan,”katanya.

Bagaimanapun, peguam Datuk Cyrus Dass yang mewakili Semantan Estate menghujahkan Duta Enclave itu perlu dipulangkan semula kepada Semantan Estate dan kerajaan perlu membayar keuntungan Mesne.

Mahkamah turut dimaklumkan bahawa pengiraan bagi keuntungan Mesne perlu mengambil kira harga pasaran semasa bermula dari 1956 sehingga kini.

“Sebagai contoh, harga pasaran semasa tanah pada 2024 akan didarab dengan kadar pulangan keuntungan (rate of return profit) dan ia akan menjadi keuntungan Mesne pada tahun tersebut,”kata peguam itu.

Pada 7 November 2024, pihak-pihak telah diminta oleh Mahkamah Rayuan untuk berhujah mengenai kiraan nilai ganti rugi yang perlu diberikan kepada Semantan Estate (sekiranya mahkamah berpihak kepada syarikat terbabit), sama ada mengikut nilai harga semasa pasaran atau mengikut nilai tanah tersebut diambil secara salah oleh kerajaan pada 1956.

Selain itu, Semantan Estate diminta untuk berhujah berhubung persoalan sama ada Seksyen 29(1)(b) Akta Prosiding Kerajaan 1956 dan Seksyen 8 Akta Relif Spesifik 1950 adalah tidak berperlembagaan dan bertentangan dengan Perkara 13 (Hak Terhadap Harta) Perlembagaan Persekutuan.

Pihak kerajaan merayu kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 7 Ogos 2024 yang membenarkan saman pemula Semantan Estate terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan untuk memindah milik dan mendaftarkan syarikat itu sebagai pemilik tanah terbabit dalam tempoh tiga bulan.

Semantan Estate pula merayu berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 27 Oktober 2021 yang menolak semakan kehakiman mereka untuk mendapatkan tanah seluas 106.542 hektar yang turut dikenali sebagai Duta Enclave.

Syarikat terbabit turut memohon agar perintah pindah milik tersebut dikuatkuasakan sebagaimana diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2009.

Pada prosiding terdahulu, wakil pelikuidasi Semantan Estate menyatakan bahawa nilai terkini tanah yang dipertikaikan ialah RM12 bilion manakala Kerajaan sebelum ini (sewaktu pemerintahan Datuk Seri Ismail Sabri) mencadangkan ganti rugi sebanyak RM5 bilion.

Jumlah itu bagaimanapun, tidak dipersetujui oleh kerajaan terkini pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan sebagai tidak munasabah, keterlaluan dan terlalu tinggi.

Semantan memulakan tindakan undang-undang terhadap kerajaan pada 1960 berhubung pampasan RM1.32 juta yang diperoleh hasil daripada pengambilan tanah tersebut untuk dibangunkan bagi penempatan diplomat dan duta.

Pada 2003, Semantan Estate memfailkan saman terhadap kerajaan agar perintah yang diputuskan sebelum ini dikuatkuasakan.

Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya memutuskan bahawa Semantan Estate mengekalkan kepentingan benefisialnya terhadap tanah seluas 106.542 hektar itu yang telah diambil alih oleh kerajaan secara tidak sah serta melakukan pencerobohan ke atas tanah terbabit.

Bagaimanapun, pada November 2012, Mahkamah Persekutuan mengekal keputusan mahkamah terdahulu yang memutuskan kerajaan menceroboh tanah tersebut apabila mengambil alih tanah tersebut melalui Enakmen Pengambilan Tanah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya