ALOR SETAR: Kerajaan perlu menggunakan kuasa yang ada untuk memberi fokus kepada ekonomi dan pendidikan berkualiti agar dapat mengembalikan keyakinan terhadap dunia Islam yang mengalami defisit kepercayaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dunia Islam kini tidak berdaya apabila berlaku pengeboman dan pembunuhan kanak-kanak hampir setiap hari hanya disebabkan faktor kemiskinan.
Kata beliau, kemerosotan nilai kemanusiaan sehingga peraturan asas dunia tidak lagi dihiraukan juga menyebabkan penindasan, penjajahan dan tindakan tidak berperikemanusiaan terus berlanjutan.
“Apa yang kurang dalam dunia Islam sekarang? Defisit kepercayaan. Kita tidak lagi percaya kepada perjuangan, pengorbanan dan sumbangan yang sebenar. Kita melihat ramai pemimpin yang mengumpul kekayaan di luar batas kemampuan mereka, mereka berilmu dan berkeupayaan tetapi tiada nilai.
“Jika dunia mengikut peraturan, tidak akan ada penindasan, penjajahan, eksploitasi dan penghinaan seperti berlaku terhadap Gaza dan Palestin. Tetapi kita melihat kemerosotan nilai kemanusiaan.
“Oleh itu, para pelajar perlu banyak membaca dan memahami dengan lebih baik berbanding generasi terdahulu untuk membawa perubahan kepada masyarakat, negara dan dunia,” katanya ketika berucap pada Sesi Ramah Mesra Pelajar AIU di sini, hari ini.
Perdana Menteri menegaskan peranan institusi pengajian tinggi seperti AIU penting untuk dunia Islam melahirkan generasi yang lebih bijaksana dan beradab tinggi.
“AIU telah banyak berjasa, komitmen mereka adalah memberikan yang terbaik kepada para pelajar. Saya berbangga kerana di Kedah kita ada sebuah universiti antarabangsa yang penting dan menyumbang kepada negara.
“Sejak awal diasaskan, AIU memberi peluang kepada mereka yang terpinggir. Jadi gunakan peluang ini sebaik mungkin dan fahami ilmu dengan betul terutamanya sebagai Muslim,” katanya.