KLUANG: Dua penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam dua kemalangan berasingan di lokasi dan masa yang sama tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian di kilometer 84, Jalan Kota Tinggi – Kluang pada pukul 12.45 tengah malam tadi itu melibatkan sebuah kereta Nissan Serena dan empat buah motosikal.
Katanya, kejadian pertama melibatkan Arif Zaidi Zainurrizam, 20, menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC bertembung dengan kereta Nissan Serena yang datang dari arah Kluang selepas motosikal ditungganginya hilang kawalan ketika dalam perjalanan dari arah Kota Tinggi ke Kluang.
“Dalam masa sama, Nur Azreen Najwa Roslan, 25, menunggang motosikal Nouvo LC yang turut datang dari arah Kota Tinggi telah bergesel dengan sebuah motosikal tidak dapat dikenal pasti menyebabkannya hilang kawalan dan terjatuh ke lorong kanan jalan.
“Insiden itu menyebabkan seorang lagi penunggang motosikal, Mohd Fadreil Iqram Mohammad Fairuz, 17, hilang kawalan sebelum terjatuh, manakala sebuah lagi motosikal, SM Sport 110R ditunggang Muhammad Fairuz Iqtisham Zamidi, 16, yang turut dalam perjalanan sama juga tidak sempat mengelak kedua-dua motosikal di hadapannya sebelum terjatuh,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Bahrin lagi, akibat kejadian itu, Arif Zaidi Zainurrizam dan Nur Azreen Najwa Roslan maut dilokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan.
Katanya, dua lagi penunggang motosikal, Mohd Fadreil Iqram Mohammad Fairuz dan Muhammad Fairuz Iqtisham Zamidi hanya cedera ringan di beberapa bahagian badan manakala pemandu kereta Nissan Serena tidak cedera.
“Semua mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk proses rawatan dan bedah siasat.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diharap tampil membantu siasatan,” katanya.