KUALA LUMPUR: Dua lelaki warga Taiwan mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan memperdagangkan senjata api dan memiliki 900 butir peluru di Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Bagi pertuduhan membabitkan pemerdagangan senjata api, tertuduh, Cheng Ming Hung, 26, dan Hsueh Chun Ta, 33, didakwa memperdagangkan senjata api berupa 14 pucuk pistol dan satu laras ‘sub machinegun’ tanpa kebenaran sah.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 16 Januari lalu, pukul 5.30 petang di sebuah rumah di Desa ParkCity, Sentul di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 7(2) Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun dan boleh dikenakan enam sebatan.
Sementara itu, kedua-dua tertuduh juga didakwa memiliki senjata tiruan berupa sepucuk pistol tiruan jenama ‘five-seven MK2P’ bersama dua kelopak peluru kosong tanpa sebab yang sah dalam almari di rumah, masa dan tarikh yang sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata Berbahaya 1960 dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih satu tahun atau denda maksimum RM5,000 atau atau kedua-duanya.
Dalam pada itu, Bagi pertuduhan membabitkan pemilikan senjata api, Ming Hung dan Chun Ta didakwa memiliki senjata api berupa 14 pucuk pistol, satu laras ‘sub machinegun’ dan 900 butir peluru t⁹anpa kebenaran sah pada masa, lokasi dan tarikh sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara tidak lebih 14 tahun dan enam sebatan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd. Latip manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim Siti Shakirah Mohtarudin tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dengan alasan pertuduhan ini tidak boleh dijamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 12 Mac.