KOTA BHARU: Seorang bapa mahu anak perempuannya memanfaatkan peluang diterima masuk ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pasir Tumbuh di sini, dengan belajar bersungguh-sungguh sekali gus mengubah nasib hidup mereka yang datang dari keluarga kurang berkemampuan.
Mohd. Nusi Mamat, 39, berkata, dia percaya hanya pelajaran yang mampu mengubah masa depan keluarga selain menjamin kehidupan lebih baik buat anaknya.
“Sebelum ini anak saya, Nur Nasuha, 13, kerap menyatakan hasrat mahu menyambung pengajian di MRSM. Alhamdulillah, saya tidak menyangka impian Nur Nasuha itu akhirnya menjadi kenyataan.
“Saya berterima kasih kepada Yayasan Pelajaran Mara (YPM) yang membantu dan sedikit sebanyak dapat meringankan beban. Lagi pun saya hanya bekerja kampung dan purata pendapatan sebulan lebih kurang RM600.
“Selain itu dua lagi anak bersekolah iaitu yang sulung berusia 14 tahun dan ketiga berusia tujuh tahun, manakala yang kecil berusia empat tahun dan sebulan,” katanya kepada Utusan Malaysia semasa menerima kunjungan Pengarah Kanan Jabatan Pembangunan Dana YPM, Zainal Rashid Zakaria di Kampung Lubuk Nibong Pak Badol, Melor di sini, kelmarin.
Semasa kunjungan itu, Zainal menyerahkan bantuan wang tunai RM500 dan beg sekolah kepada Nur Nasuha bagi meringankan beban keluarganya.
Sementara itu, Nur Nasuha berkata, kesempatan itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin kerana impian yang dipasang untuk menyambung pengajian di situ menjadi kenyataan.
“Saya hanya mampu mengucap syukur, tekad saya mahu belajar bersungguh-sungguh dan mengejar cita-cita sebagai seorang pensyarah. Lagi pun saya bukan dalam kalangan keluarga yang senang. Apa pun insya-Allah saya akan membuat yang terbaik demi keluarga tersayang,” katanya. – UTUSAN