ALOR GAJAH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 10 ekor arnab bersama tiga buah sangkar di perairan Pantai Pengkalan Balak di sini, hari ini.
Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Mohd. Khairi Abd. Aziz berkata, satu serbuan telah dijalankan pada pukul 12.10 tengah malam oleh pasukan operasi darat dan laut setelah menerima maklumat berkaitan pergerakan mencurigakan di perairan berkenaan.
“Ketika operasi dijalankan, pasukan penguat kuasa menemukan tiga buah sangkar yang berisi 10 ekor arnab ditinggalkan di tepi pantai. Berdasarkan pemerhatian awal, arnab-arnab tersebut dipercayai cuba diseludup keluar dari negara ini tanpa melalui prosedur sah.
“Kami percaya kehadiran bot penguat kuasa telah disedari oleh suspek, menyebabkan mereka melarikan diri ke kawasan perairan cetek menggunakan bot gentian kaca yang dilengkapi enjin sangkut 60 kuasa kuda bagi mengelakkan diri daripada ditahan,” katanya.
Tambah Mohd. Khairi, kes disiasat di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 manakala semua barang rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
“Anggaran nilai rampasan keseluruhan mencecah RM15,000,” katanya. – UTUSAN