RANTAU PANJANG: Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) mengukuhkan lagi kawalan dan tahap keselamatan sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok, sementara pembinaan tembok atau tebatan banjir direalisasikan.
Sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini sepanjang 106 kilometer yang terlalu terbuka dan hanya dipisahkan laluan sungai yang jaraknya sekitar 30 meter ke seberang memberi ancaman kepada keselamatan dan kedaulatan negara.
Keadaan itu mendorong berlaku aktiviti jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan barangan subsidi, pemerdagangan manusia, dadah dan lain-lain yang sudah sebati dengan kawasan tersebut.
Profesor Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-undang Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Dr. Mohd. Mizan Mohammad Aslam berkata, pemasangan itu perlu disegerakan kerana ia melibatkan soal keselamatan negara.
“Pembinaan tembok sudah pastinya melibatkan jangka masa yang panjang kerana kerajaan terpaksa melaksanakan kerja-kerja pengambilan tanah di sepanjang kawasan Sungai Golok.
“Sepertimana yang kita tahu, kebanyakan tanah di sepanjang kawasan itu adalah milik persendirian. Jadi solusi terbaik ketika ini selain kawalan diperketat adalah dengan memasang CCTV di sepanjang kawasan sempadan.
“CCTV itu mestilah berfungsi dengan baik dan bebas daripada sebarang kerosakan sepertimana yang pernah berlaku sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/2025/02/IMG-20250210-WA0007-600x400.jpg)
Mohd. Mizan berkata, bagi memastikan CCTV itu berfungsi dengan baik, pelbagai pihak perlu diberikan akses untuk melihat dan memantau sendiri situasi keselamatan di sempadan negara sepanjang masa.
“Bagi saya cadangan ini tidak ada isu keselamatan (rakaman CCTV) kerana kita mahu menjaga keselamatan.
“Idea ini nampak ‘extreme’, namun jika ia mahu dilaksanakan, bagi saya inilah jalannya,” ujarnya.
Di sebalik pemasangan CCTV, pembinaan tembok serta penggunaan dron, Mohd. Mizan berkata, rondaan secara berkala oleh pasukan keselamatan masih lagi diperlukan.
Katanya, rondaan itu bertujuan memastikan tiada sebarang anasir-anasir luar yang merosakan tembok tersebut apabila ia siap nanti.
“Kehadiran anggota pasukan keselamatan menerusi rondaan berkala ini mampu menghadirkan gerun kepada mereka yang melakukan aktiviti jenayah rentas sempadan,” ujarnya.
Aktiviti jenayah dan rentas sempadan di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini turun mendadak kepada 90 peratus sejak Polis Kelantan menguatkuasakan larangan keluar masuk menggunakan pangkalan haram yang terdapat di sepanjang Sungai Golok.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/2025/02/IMG-20250210-WA0010-600x400.jpg)
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, hasil pemantauan yang dilakukan mendapati penurunan itu berlaku sejak larangan tersebut dikuatkuasakan pada 1 Disember lalu melibatkan jenayah penyeludupan dadah, barangan kontraban, barangan kawalan, pemerdagangan manusia dan sebagainya.
Bentuk topografi sempadan Malaysia-Thailand yang dilingkupi kawasan hutan tebal dan tebing sungai menambahkan lagi kesukaran kepada anggota pasukan keselamatan untuk melakukan penugasan termasuk rondaan jalan kaki, bermotosikal dan berkereta.
Sebagai rekod, jajaran Sungai Golok yang bermula dari Pengkalan Kubor, Tumpat, Rantau Panjang (Pasir Mas), Tanah Merah dan Jeli mempunyai kira-kira 172 pangkalan haram.
Info
======
1.Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan dua pasukan keselamatan yang melakukan penugasan kawalan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.
2. Penugasan PGA bermula dari Pengkalan Kubor, Tumpat sehingga Pos Ibrahim Pencen, Rantau Panjang menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
3. ATM dari Pos To’oh (Rantau Panjang) sehingga ke Jeli.
4. Panjang sempadan Malaysia-Thailand 136 kilometer (KM)
5. Panjang Sungai Golok 106 kilometer dari Pengkalan Kubor hingga ke Jeli.
6. Terdapat 172 pangkalan haram.
7. Setiap kali kemarau, aktiviti rentas sempadan boleh dilakukan dengan cara berjalan kaki.-UTUSAN