PETALING JAYA: Cadangan kerajaan menetapkan kadar caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak dua peratus bagi pekerja asing mencerminkan usaha untuk mengimbangi kebajikan pekerja dan keperluan perniagaan.
Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai berkata, kadar itu jauh lebih rendah berbanding cadangan awal sebanyak 12 peratus yang diumumkan dalam Belanjawan 2025.
Beliau berkata, FMM sebelum ini sudah bekerjasama dengan KWSP untuk menyuarakan kebimbangan mengenai beban kos tambahan ke atas majikan sekiranya kadar caruman yang lebih tinggi dilaksanakan.
“FMM mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk mengurangkan kadar caruman KWSP kepada dua peratus bagi pekerja asing, berbanding kadar lebih tinggi yang dicadangkan dalam Belanjawan 2025.
“Ia termasuk cadangan kenaikan tahunan selama enam tahun,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata, peningkatan caruman yang terlalu tinggi akan memberi impak besar kepada kos operasi syarikat termasuk beban perbelanjaan berkaitan buruh dan caruman berkanun lain.
Dalam pada itu, Soh berkata, FMM komited untuk terus bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan dasar yang melibatkan sektor pembuatan mencapai keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan perlindungan kebajikan pekerja.
“Kami berharap dapat meneruskan libat urus dengan kementerian berkaitan bagi menangani sebarang kebimbangan dan memastikan pelaksanaan struktur caruman KWSP baharu ini berjalan lancar,” katanya.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan cadangan caruman KWSP bagi pekerja asing akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet minggu ini dan Kementerian Sumber Manusia akan mengumumkan butiran terperincinya.
Semasa pembentangan Belanjawan 2025 pada Oktober lalu, Anwar mengumumkan cadangan untuk mewajibkan semua pekerja bukan warganegara mencarum kepada KWSP bagi memastikan layanan lebih adil kepada semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan. – UTUSAN