KOTA BHARU: Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual dengan meliwat remaja perempuan berusia 16 tahun di kawasan hutan Mengkebang, Kuala Krai dekat sini pada bulan lalu.
Tertuduh, Mohamad Aiman Afham Zainal A’abidin, 21, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual dengan meliwat seorang remaja perempuan yang berusia 16 tahun ketika kejadian.
Perbuatan terkutuk itu dilakukan di kawasan hutan Mengkebang, Kuala Krai dekat sini kira-kira pukul 7.30 malam pada 9 Januari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 10 Mac depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.-UTUSAN