HULU TERENGGANU: Bunga terbesar di dunia iaitu pakma atau Rafflesia yang ditemukan di daerah ini berpotensi dijadikan produk pelancongan sekali gus dapat memanfaatkan komuniti Orang Asli Semaq Beri, di sini.
Penduduk Orang Asli Sungai Berua, Ishak Samad, 42, berkata, komunitinya bersedia menjadi pemain industri pelancongan tersebut mengikuti garis panduan serta pemantauan pihak-pihak yang berkaitan.
“Kewujudan pakma ini mampu menarik perhatian orang ramai kerana ingin melihat sendiri bunga yang sukar ditemukan dan keadaan tersebut pernah terjadi sebelum ini selepas ia tular dalam media sosial.
“Bunga ini boleh diangkat sebagai produk pelancongan tetapi pada masa sama saya sebagai komuniti Orang Asli untuk lihat kawasan terdapat bunga ini dipulihara bagi pastikan ia selamat dari sebarang bentuk ancaman.
“Aktiviti pembalakan, pembukaan hutan, perubahan cuaca dan serangan haiwan liar mengancam bunga ini. Kaedah salah ketika kendalikannya juga berisiko menyebabkannya ‘merajuk’ serta tidak membiak,” katanya ketika ditemui pemberita.
Menurut Ishak, buat masa ini terdapat sembilan tunas dijumpai dan dikenal pasti sejak seminggu lalu di lokasi tidak didedahkan dan satu daripadanya telah kembang manakala selebihnya dijangka berkembang dalam tempoh terdekat mengikut giliran.
Katanya, komunitinya bimbang terhadap pembalakan yang dikhuatiri memusnahkan habitat bunga terbesar dunia itu dan sebelum ini kegiatan demikian pernah dikesan di kawasan berkenaan.