PASIR MAS: Warga Hospital Pasir Mas di sini dikejutkan dengan kejadian bumbung runtuh yang berlaku pusat dialisis hospital berkenaan malam tadi.
Bagaimanapun, tiada kemalangan direkodkan dalam kejadian sekitar 11.45 malam itu
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas Penolong Penguasa Bomba Mohd. Azmi Husin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.47 malam.
Menurutnya, seramai lapan anggota termasuk pegawai telah ke lokasi kejadian untuk membuat pemeriksaan.
“Setiba di lokasi kami mendapati runtuhan itu berlaku melibatkan kawasan seluas 108 meter persegi.
“Pihak kami telah membuat penilaian di dalam bangunan untuk memastikan agar tiada kebakaran, letupan dan sebarang pergerakan tanah di lokasi tersebut,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Mohd. Azmi memberitahu, pihaknya kemudian telah menghubungi Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk tindakan lanjut.-UTUSAN