KANGAR: Kumpulan muzik underground terkenal, Black Fire yang pernah mencipta nama dalam genre metal sekitar era 80-an membuat kemunculan semula dan bakal mengadakan jelajah di United Kingdom (UK) pada April depan.
Penganjuran konsert The Enourmous Wrath UK Tour 2025 itu dijadual berlangsung di lima bandar di UK bermula di Liverpool (8 April), Manchester (9 April), Sheffield (10 April), Birmingham (11 April) dan London (12 April).
Lebih menarik, Black Fire juga menjadi kumpulan muzik pertama dari negeri ini bakal mengadakan persembahan di UK.
Kumpulan itu dianggotai oleh Subri Bahari selaku ketua kumpulan yang bermain gitar utama; Eekram Ibrahim (vokalis); Mohd Ezrin Abd Ghani (gitar); Mohd Abdul Hakim (bass) dan Mohamad Asri Othman (drum)
Subri,62, berkata, jemputan mengadakan jelajah di lima bandar sekitar UK itu merupakan pencapaian luar biasa buat mereka yang membuat kemunculan semula menerusi album The Enourmous Wrath pada tahun 2023.
“Kita akan mempersembahkan semua lapan lagu di dalam album itu sepanjang siri jelajah ini. Kami akan melakukan yang terbaik dengan membawa nama Malaysia dan Perlis di pentas antarabangsa,” katanya di sini semalam.
Subri berkata, kumpulan tersebut ditubuhkan sekitar tahun 1982 bagi membawa genre berbeza berbanding kebiasaan.
Katanya, mereka juga pernah dijemput mengadakan konsert besar antaranya di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada tahun 1986 dan kemudian menerbitkan album sulung iaitu ‘Lahir Dari Api’ pada 2006.
“Setelah muncul semula dengan album kedua pada 2023, kami berusaha memastikan genre ini dapat diterima oleh penggemar muzik malah, pihak pengurusan iaitu Black Label Production juga cuba membawa kumpulan ini untuk membuat persembahan di luar.
“Akhirnya kami menerima jemputan bagi mengadakan persembahan di bandar sekitar UK ini bersama tiga atau empat kumpulan tempatan di setiap lokasi nanti,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga berharap siri jelajah tersebut dapat membuka mata masyarakat untuk mengenali lebih dekat budaya muzik ‘underground’ yang sebelum ini sering kali terpalit dengan elemen negatif.-UTUSAN