MELAKA: Kehadiran pengunjung ke pasar terapung di Dataran Pengkalan Rama di sini merosot hampir 20 peratus ekoran penutupan sementara laluan utama bagi kerja-kerja pembinaan jambatan pejalan kaki.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Shaharul Azuar Idris berkata, projek tersebut dilaksanakan oleh kontraktor Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Beliau berkata, sejak pembukaan rasmi sehingga semalam, seramai 433,215 orang telah berkunjung ke pasar terapung dan Windmill Pink Market.
“Isu pengurangan pengunjung adalah disebabkan oleh penutupan sementara laluan utama pengunjung ke kawasan tersebut. Perkara ini telah dimaklumkan kepada pihak peniaga.
“PPSPM juga telah mengadakan perbincangan dengan JPS untuk membuat laluan sementara dan dijangka siap selewat-lewatnya pada 7 Februari. Ini bagi memastikan operasi perniagaan dapat diteruskan dan tidak merugikan peniaga,” katanya ketika ditemui.
Sebelum ini, satu video menunjukkan suasana pasar terapung yang suram susulan tidak ramai peniaga yang membuka gerai jualan tular dalam media sosial dan mendapat pelbagai reaksi.
Tambah Shaharul Azuar, penganjur telah memberikan diskaun sewaan sebanyak 50 peratus kepada para peniaga mulai Januari sehingga kerja-kerja pembinaan selesai.
“Pasar terapung dan Windmill Pink Market telah beroperasi sepenuhnya pada Jun tahun lalu dan mendapat sambutan yang amat baik. Lokasi ini juga merupakan salah satu tempat yang kerap dikunjungi oleh pelancong.
“Tapak perniagaan sedia ada adalah bersifat sementara dan pihak pengurusan mempunyai perancangan untuk memindahkan ke lokasi yang lebih selesa dan strategik,” ujarnya. – UTUSAN