Bicara Zayn Rayyan: Hakim lawat lokasi kejadian

Bicara Zayn Rayyan: Hakim lawat lokasi kejadian

PIHAK-pihak terlibat dalam perbicaraan kes pengabaian Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin tiba dengan iringan anggota polis di Apartment Idaman di sini semalam. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pihak-pihak terlibat dalam kes pengabaian Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin tiba di lokasi di mana mayat kanak-kanak tersebut ditemui mati di Apartment Idaman, Damansara Damai di sini.

Hakim Mahkamah Sesyen, Dr. Syahliza Warnoh, pendakwaan dan pembelaan itu tiba di kawasan lokasi kejadian sekitar pukul 10 pagi diiringi anggota polis. Turut serta dalam lawatan tersebut ialah ibu bapa mangsa yang juga tertuduh dalam kes itu, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf.

Kelmarin, Syahliza menetapkan lawatan ke lokasi penemuan jasad Zayn Rayyan bersama beberapa orang saksi untuk pengecaman.

“Hanya pihak-pihak terbabit saja dibenarkan ke lokasi jenayah iaitu hakim, jurubahasa, timbalan pendakwa raya, peguam, tertuduh dan saksi-saksi yang terbabit,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz mengemukakan permohonan lisan untuk melawat kawasan sekitar apartment blok itu berikutan laporan polis dibuat ibu Zayn selepas kehilangan kanak-kanak itu.

Katanya, lawatan tersebut diperlukan sebelum mahkamah meneruskan sesi pemeriksaan utama terhadap dua pegawai polis bagi perbicaraan itu.

Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira; kedua-duanya berusia 30 tahun, mengaku tidak bersalah mengabaikan Zayn Rayyan.

Mengikut pertuduhan, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, pasangan tersebut didakwa bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan 9.55 malam, 6 Disember 2023, di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN