BESUT: Demi bertahan dalam bidang perniagaan, seorang wanita dari Kampung Sri Medang, di sini mengubah strategi dengan beralih kepada urus niaga secara hantaran (COD) setelah kedai makanan pencuci mulut yang diusahakannya rosak akibat banjir besar dua tahun lalu.
Nur Nasuha Nasir, 24, berkata, kejadian banjir itu mengakibatkannya terpaksa menanggung kerugian lebih RM10,000 dan terpaksa menutup kedai yang baru diusahakan tiga bulan.
“Meskipun diuji dengan kejatuhan perniagaan dan kekurangan modal, saya cuba bangkit dengan beroperasi dari rumah dan melakukan COD.
“Saya juga menukar strategi perniagaan dengan mengambil peluang berniaga produk viral mengikut keadaan semasa,” katanya semalam.
Menurut Nur Nasuha, ketika ini dia mampu menjana pendapatan RM4,000 sebulan dengan berniaga Popia Big Mac menggunakan resepi olahan sendiri yang mendapat permintaan tinggi sehingga terjual lebih 500 biji dalam tempoh seminggu.
” Alhamdulillah, saya mengambil pendekatan mengolah sendiri resepi inti popia itu dengan membuat penyelidikan dan pembangunan selama beberapa minggu.
“Selain itu, saya mengagihkan testimoni Popia Big Mac kepada ahli keluarga dan jiran tetangga untuk membantu saya mendapatkan resepi mengikut cita rasa penduduk setempat,” katanya yang bersyukur usaha tanpa jemu itu membuahkan hasil.-UTUSAN.