MELAKA: Seorang bekas pegawai bank didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 26 pertuduhan meminta suapan berjumlah RM153,621.47 daripada sebuah firma guaman.
Ia adalah sebagai balasan membantu mendapatkan rujukan kes berkaitan urusan pinjaman perumahan antara tahun 2018 dan 2023.
Tertuduh, Mohd. Rais Mohamed Ramli, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran di Plaza Mahkota dalam daerah Melaka Tengah antara 1 Januari 2018 dan 12 Disember 2023.
Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fatin Nur Athirah Zainudin mencadangkan jaminan berjumlah RM100,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada Mahkamah Shah Alam dan melapor diri di pejabat SPRM Selangor sebulan sekali sehingga kes selesai.
Mahkamah membenarkan jaminan berjumlah RM37,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan dipohon pendakwaan dan menetapkan tarikh 9 April depan untuk sebutan semula kes.-UTUSAN.