GEORGE TOWN: Seorang bayi perempuan berusia dua bulan, Nur Khadijah Aryana Mohammad Shahrin memerlukan bantuan dana daripada orang ramai sebanyak RM110,000 bagi membolehkan dia menjalani pembedahan jantung dengan segera.
Pengerusi badan amal, One Hope Charity and Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, Nur Khadijah Aryana dikesan mengalami masalah kecacatan jantung itu sejakdilahirkan dan bayi itu terpaksa bergantung alat bantuan oksigen sehingga kini.
Katanya, pemeriksaan doktor mendapati, satu saluran darah utama pada jantung Nur Khadijah Aryana tidak terbentuk hingga menyebabkan darah dan oksigen bercampur.
“Keadaan tersebut boleh menyebabkan paru-parunya dipenuhi cecair, meningkatkan risiko jangkitan bakteria serta bayi akan mengalami kekurangan oksigen dan kebiruan setiap kali menangis.
“Kecacatan jantung kongenital yang serius ini menyebabkan Nur Khadijah Aryana tidak dapat bernafas sendiri, malah jangkitan bakteria yang kerap memaksanya terus berada di unit rawatan rapi neonatal (NICU) selama hampir dua bulan,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Sui Hau, doktor memaklumkan satu-satunya jalan untuk membantu bayi berkenaan adalah melalui pembedahan segera.
“Pembedahan untuk menutup lubang pada jantungnya bersama dengan pembedahan memasukkan implan Contegra Valved Conduit dijadual pada 28 Februari ini. Namun, kos pembedahan yang mencecah RM110,000 menjadi beban besar bagi ibu bapanya yang kurang berkemampuan,” katanya.
Tambahnya, badan amal itu akan membantu keluarga Nur Khadijah Aryana bagi mengumpul dana orang ramai agar pembedahan boleh dilakukan segera.
“Bapa bayi tersebut, Mohammad Shahrin Abd Aziz, 30, bekerja sebagai pembantu bahagian pengeluaran di sebuah kilang dan ibu, Nor Fazliana Mohd Ramli, 31, seorang pegawai khidmat pelanggan. Nur Khadijah Aryana merupakan cahaya mata sulung pasangan berkenaan,” katanya.
Menurut Sui Hau, orang ramai yang berhasrat menghulurkan bantuan, boleh berbuat demikian melalui akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (nombor akaun: 3201428817) atau melayari onehopecharity.org.