KUALA LUMPUR: Kerajaan akui terdapat beberapa kes yang menunjukkan jumlah kos rawatan yang lebih tinggi bagi pesakit yang menggunakan surat jaminan (guarantee letter) berbanding pesakit yang bayar dahulu dan tuntut kemudian.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, semakan itu berdasarkan kajian bil tuntutan hospital swasta kepada pihak syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO).
Jelasnya, memandangkan caj rawatan yang dikenakan adalah kurang telus, kajian yang lebih terperinci perlu dijalankan untuk memahami dengan lebih lanjut isu perbezaan caj serta mengambil tindakan lanjut daripada perkara itu.
“Kerajaan peka terhadap isu ini termasuk pengalaman rakyat yang disuarakan semasa sesi pendengaran awam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini.
“Oleh itu, kerajaan melalui KKM menerusi tindakan bersepadu semua pihak berkepentingan termasuk Kementerian Kewangan, hospital swasta dan pihak ITO sedang bekerjasama dalam mencari penyelesaian jangka masa panjang dan akan mengutamakan reformasi kesihatan yang menyeluruh untuk menangani isu inflasi kos perubatan dan caj hospital swasta.
“Ini termasuk meningkat ketelusan kos ubat-ubatan serta perbandingan kos perubatan lazim. Pelan tindakan bersepadu ini telah dibentangkan kepada PAC semalam,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) meminta kementerian menyatakan senarai perbezaan caj hospital swasta mengikut bayar dahulu dan tuntut kemudian serta surat jaminan.