Bayar zakat 33 tahun ‘sucikan harta’

Bayar zakat 33 tahun ‘sucikan harta’

ATIKH Ismail (tiga dari kiri) menerima Anugerah Pembayar Setia sempena Kempen Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ- MAIWP) 2024. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Penolong Pegawai Tadbir Kementerian Pendidikan, Atikh Ismail, 68, menjadi penerima Anugerah Pembayar Setia sempena Kempen Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) 2024.

Beliau antara lima penerima anugerah yang merupakan pembayar zakat sejak 1991.

Atikh yang berasal dari Putrajaya menganggap simpanan zakat yang dilaksanakan selama 33 tahun membolehkannya menyucikan harta yang diperoleh selama ini.

“Sejak 1980, saya mula be­kerja dan membayar zakat. Bermula dengan bayaran RM50 zakat yang diserahkan kepada PPZ-MAIWP itu memberikan saya mendapat limpahan rezeki yang tidak disangka.

“Setakat ini, zakat tidak membebankan dan membolehkan saya berkongsi rezeki pada yang memerlukan. Malah, selepas lapan tahun bersara, saya masih menunaikan zakat selagi ada hayat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah Kempen PPZ-MAIWP 2024.

Jelas Atikh, beliau turut menggalakkan anak-anaknya untuk menunaikan zakat.

“Saya menggalakkan mereka untuk membayar zakat dan ini (zakat) dapat membantu orang yang memerlukan dan asnaf,” katanya.

Dalam majlis itu, lebih 1,500 pembayar zakat dan wakaf me­nerima pelbagai hadiah menerusi beberapa Kempen PPZ-MAIWP 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata, pihaknya amat berterima kasih dan menghargai para pembayar zakat yang telah menunaikan zakat di PPZ-MAIWP sepanjang 2024.

“Penganjuran kempen-kempen ini adalah salah satu inisia­tif PPZ-MAIWP untuk meningkatkan kesedaran masyarakat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan mengenai kepen­tingan menunaikan zakat dan berwakaf, di samping mendidik masyarakat untuk lebih cakna akan keperluan asnaf yang semakin meningkat.

“Tanpa sokongan dan keprihatinan para pembayar zakat mungkin sukar untuk PPZ-MAIWP mencapai kutipan zakat yang ditetapkan. Justeru itu, saya ingin mengucapkan jutaan tahniah kepada semua kerana telah menjadi sebahagian daripada kebahagiaan para asnaf,” katanya.

Jelas Abdul Hakim lagi, pada tahun lalu, pihaknya berjaya mengutip zakat berjumlah RM1.13 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya