RAUB: Seorang bapa berusaha membawa anaknya yang tidak sedarkan diri naik ke atas tebing selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum terhumban ke dalam gaung dalam kemalangan berhampiran jambatan besi, Pekan Tras, Jalan Lama Raub-Bentong di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, kanak-kanak berusia lima tahun itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan Hospital Raub.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd. Shahril Abdul Rahman berkata, kereta dipandu lelaki berusia 30 tahun itu yang bekerja sebagai buruh ladang durian dipercayai dalam perjalanan dari arah Tranum menuju ke Raub.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dalam gaung.
“Bapa kanak-kanak itu yang masih sedar kemudian berusaha membawa keluar anak perempuannya dari dalam kenderaan ke atas tebing. Mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan sudah tidak sedarkan diri,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Shahril berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berpunca daripada pemanduan secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan berlaku.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987,” katanya. – UTUSAN