JERANTUT: Seramai 20 pesakit kronik, warga emas, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) disantuni menerusi program ziarah kasih oleh Biro Kebajikan dan Sosial Wilayah Jengka menjelang bulan Ramadan di Felda Sungai Tekam serta Sungai Kepong, Pulau Tawar di sini.
Pengerusi Biro Kebajikan dan Sosial Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, sumbangan barang keperluan dapur untuk penduduk kurang berkemampuan itu sebagai persiapan menyambut bulan Ramadan yang bakal tiba.
“Kami mengenal pasti penduduk terdiri daripada asnaf yang tidak mempunyai pekerjaan tetap seperti ibu tunggal, warga emas dan OKU serta sebilangannya menanggung derita penyakit kronik yang sangat memerlukan bantuan.
“Bukan sahaja pada hari biasa, keutamaan Biro Kebajikan dan Sosial Wilayah Jengka dengan kerjasama Biro Hal Ehwal Felda UMNO Jerantut menyantuni masalah dan kebajikan ketika menjelang bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Menurut Razak, bantuan yang sama juga dilakukan menerusi program ziarah kasih melibatkan kira-kira 50 penduduk kurang berkemampuan di Felda Jengka Sembilan, Jengka 10, Jengka 11, Jengka 12, Felda Sungai Tekam Utara dan Felda Lepar Utara serta kampung tradisional Melayu pesisir Sungai Pahang kawasan Pulau Tawar.
Katanya, biro tersebut juga menyediakan sumbangan untuk majlis berbuka puasa, moreh dan tadarus al-Quran di masjid kawasan Felda Wilayah Jengka dan kampung tradisional kawasan Pulau Tawar pada awal bulan Ramadan ini.-UTUSAN.