ASEAN terpaksa ikut campur isu Myanmar - Mohamad

ASEAN terpaksa ikut campur isu Myanmar – Mohamad

MOHAMAD Hasan ketika menyampaikan bantuan kepada wakil masjid serta surau sempena Majlis Penyampaian Sumbangan kepada seluruh Masjid dan Surau Parlimen Rembau, di Dewan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau, semalam. FOTO/ NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Konflik berlaku di Myan­mar menjangkaui sempadan negara-negara jiran menyaksikan blok ASEAN ‘terpaksa’ mencampuri hal ehwal yang berlaku di negara itu bagi menghentikan krisis yang berlaku.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, konflik Myanmar dan sindiket pemerdagangan manusia, antara tajuk penting dalam mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN di Langkawi, bulan lalu.

“Walaupun piagam ASEAN mengatakan kita tidak mencampuri hal ehwal negara masing-masing tetapi isu dalaman di Myanmar melangkaui sempadan dan menjadi jenayah rentas sempadan.

“Ada sindiket pemerdagangan manusia, penipuan, jenayah siber, dadah yang secara tidak langsung menimbulkan masalah kepada negara jiran khususnya Malaysia.

“Kita (sendiri) terpaksa me­nerima kedatangan orang Rohingya yang lari untuk berlindung di negara kita melebihi 200,000 orang. Jadi ini bukan kita nak campur tangan dalam hal ehwal negara rakan tapi dah jadi masalah kepada negara ASEAN,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan kepada seluruh Masjid dan Surau Parlimen Rembau, di Dewan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau, di sini, semalam.

Pada majlis itu sebanyak 42 masjid dan 139 surau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong dan Kota menerima sumbangan bernilai RM490,500 daripada Ahli Parlimen Rembau itu sempena aktiviti mengimarahkan Ramadan.

Mohamed berkata, ASEAN berharap penghantaran bantuan kemanusian di tempat memerlukan di Myanmar, sampai tanpa sebarang halangan daripada mana-mana pihak berkepentingan di sana.

“Kita hantar bantuan ke sana, tapi bantuan itu tak sampai, pihak berkepentingan bertelagah dan yang menjadi mangsa adalah rakyat.

“Kita tak mahu ia berlaku dan kita mahu keamanan di Myanmar dikembalikan semula, kemudian barulah boleh runding duduk semeja untuk adakan pilihan raya.

“Terpulang kepada mereka sama ada nak tubuh secara gabungan atau tidak, tapi kepenti­ngan ASEAN adalah untuk melihat krisis kemanusian di Myanmar dihentikan,” katanya.

Mengenai status pemerdaga­ngan manusia di sempadan Myan­mar dan Thailand, Mohamed berkata, Malaysia bekerjasama dengan Kerajaan Thailand.

“Seramai 15 orang pulang hari ini dengan semua selamat, ada 22 orang lagi dalam proses dibawa pulang. Terima kasih kepada kerajaan Thailand dan China yang be­kerjasama memastikan scammer dan pemerdagangan manusia ditangani secara berkesan.

“Kita juga pastikan rakyat yang terlibat, diproses (disaring) dulu sebelum dibawa pulang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya