Arab Saudi larang kanak-kanak sertai musim haji tahun ini

Arab Saudi larang kanak-kanak sertai musim haji tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Bermula musim haji tahun ini, Arab Saudi tidak lagi membenarkan kanak-kanak menyertai jemaah ke Tanah Suci untuk menangani isu kesesakan dan faktor keselamatan.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan perkara itu sebagai memperkenalkan beberapa langkah baharu untuk memastikan keselamatan golongan berkenaan daripada sebarang risiko yang timbul akibat kesesakan melampau.

“Langkah ini diambil bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak serta untuk mengurangkan sebarang potensi bahaya semasa menunaikan haji,” kata kementerian dalam satu kenyataan.

Menurutnya, keutamaan untuk musim haji kali ini akan diberikan kepada jemaah kali pertama menunaikan ibadah itu.

Selain larangan membawa kanak-kanak, Arab Saudi turut melaksanakan peraturan visa yang lebih ketat.

Negara itu dilaporkan menggantung visa pelbagai kemasukan selama setahun untuk tujuan pelancongan, perniagaan dan lawatan keluarga daripada negara-negara terpilih.

Mulai 1 Februari, individu daripada 14 negara termasuk India, Jordan, Morocco, Nigeria, Algeria, Bangladesh, Mesir, Ethiopia, Indonesia, Iraq, Pakistan, Sudan, Tunisia dan Yaman hanya layak mendapat visa kemasukan tunggal yang sah selama 30 hari.

Langkah itu diambil untuk mengurangkan amalan jemaah yang tidak mendaftar semasa menunaikan haji, yang sering menyumbang kepada kesesakan di Tanah Suci.

Di bawah dasar visa baharu tersebut, jemaah perlu melalui proses yang rumit dan menanggung kos lebih tinggi untuk mendapat kebenaran memasuki Arab Saudi.

Pendaftaran untuk musim haji 2025 kini dibuka secara rasmi, di mana penduduk yang memiliki kewarganegaraan Arab Saudi boleh mendaftar melalui aplikasi Nusuk atau laman web rasmi.

Mengikut peraturan terkini, pemohon dikehendaki mengesahkan maklumat peribadi dan mendaftarkan sebarang rakan atau keluarga yang turut bersama mereka semasa menunaikan haji.

Dengan langkah itu, Arab Saudi berhasrat untuk mengurangkan masalah kesesakan dan memastikan pelaksanaan jemaah haji berjalan dengan lancar serta selamat. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN