Anwar gesa rakyat Malaysia di luar negara berfikiran terbuka - Utusan Malaysia

Anwar gesa rakyat Malaysia di luar negara berfikiran terbuka

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia di luar negara khususnya golongan profesional, diminta  berfikiran terbuka agar tidak terperangkap dengan pemikiran lama dan sentiasa mencari peluang bagi memperkembangkan potensi diri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dunia hari ini menuntut perubahan ke arah yang lebih positif serta menggalakkan setiap individu untuk berfikir dan mencari jalan terbaik demi kemajuan negara.

Beliau berkata, Malaysia tidak boleh terus kekal dalam keadaan lama yang dipenuhi keterlanjuran, kerakusan, dan penyelewengan sebaliknya harus sedar bahawa negara ini mempunyai potensi luar biasa untuk mencapai kejayaan.

“Apakah kita nak kekal dalam keadaan yang lama dengan segala keterlanjuran, kerakusan dan perompakan atau kita kata ‘enough is enough’ (sudah cukup) kerana negara ini mempunyai potensi yang luar biasa untuk menjadi negara yang berjaya.

“Bagi saya, mesej utama adalah kalangan profesional atau pengusaha yang ramai di sini (di luar negara) mempunyai pendedahan di Malaysia atau di luar negara, apabila dah ke luar negara, jangan terperangkap seolah-olah duduk di bawah tempurung,” katanya.

Beliau berucap di hadapan kira-kira 300 tetamu pada Majlis Makan Malam bersama diaspora Malaysia sempena lawatan rasminya ke Bahrain, atas jemputan Sheikh Salman Hamad Al Khalifa.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan dan Duta Besar Malaysia ke Bahrain, Shazryll Zahiran.

Tambah Anwar, dunia sedang berlegar membicarakan mengenai masa depan kecerdasan buatan (AI), AI terbuka dan pelbagai cabaran lain.

“Kita ada kemungkinan untuk mempengaruhi perubahan, menerima perubahan yang diperlukan. Pilihan terbaik antara kita adalah mereka yang boleh berfikir lebih daripada itu.

“Orang seperti anda, profesional yang lebih muda, mempunyai pengalaman di Malaysia dan sekarang (di luar negara), mempunyai pendedahan, pengalaman baharu, dimensi baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mahu semua diaspora bersama menggerakkan usaha mempromosikan negara kepada pihak luar.

“Harus juga aktif berkempen mengenai Malaysia, (dari segi) pelancongannya, (seperti) Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Kelantan dan semua yang ada keistimewaan masing-masing,” katanya.

Anwar dalam lawatan rasmi ke Bahrain atas jemputan Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Bahrain.

Dalam rangka lawatan itu, beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Sheikh Salman Hamad Al Khalifa serta menghadap Raja Bahrain, Sheikh Hamad Isa Al Khalifa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya