KLUANG: Seorang lelaki yang dikenali sebagai Along Kubur dipenjara 10 bulan dan denda RM13,000 selepas mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas pada 14 Februari lalu.
Keputusan itu dibuat Majistret Kluang, Mustaqim Sukarno selepas Along Kubur atau nama sebenarnya Faiz Zailan Kamarudin, 41, membuat pengakuan bersalah bagi kedua-dua pertuduhan itu.
Bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, dia dihukum penjara 10 bulan serta denda RM10,000 dan jika gagal membayar denda itu, dikenakan hukuman penjara 12 bulan lagi serta lesen memandu dilucut hak selama lima tahun.
Dia didakwa di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Along Kubur didenda RM3,000 dan boleh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Dia didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Walau bagaimanapun, dia hanya menangguk faham, namun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan mengedar dadah dengan melarikan diri daripada pemeriksaan polis sehingga dikejar kira-kira lima kilometer di bandar ini minggu lalu dibacakan jurubahasa mahkamah.