Aktiviti jenayah, rentas sempadan di Kelantan turun 90 peratus

Aktiviti jenayah, rentas sempadan di Kelantan turun 90 peratus

MOHD. Yusoff Mamat (kiri) bersalam dengan pegawainya semasa merasmikan  Perhimpunan Bulanan Polis Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Aktiviti jenayah dan rentas sempadan di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini turun mendadak kepada 90 peratus sejak Polis Kelantan menguatkuasakan larangan keluar masuk menggunakan pangkalan haram yang terdapat di sepanjang Sungai Golok.

Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, hasil pemantauan yang dilakukan mendapati penurunan itu berlaku sejak larangan tersebut dikuatkuasakan pada 1 Disember lalu.

Menurutnya, ia melibatkan jenayah penyeludupan dadah, barangan kontraban, barangan kawalan, pemerdagangan manusia dan sebagainya.

“Bagi saya kejayaan (penurunan jenayah rentas sempadan) cukup besar walaupun masih berbaki sebanyak 10 peratus. Tugas mengawal sempadan bukan mudah buat kami (polis) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana jaraknya 136 kilometer (km).

“Selain itu, langkah ini berjaya mengurangkan rakyat Kelantan masuk ke Thailand untuk berhibur di Golok. Bila berhibur di sana, kita (polis) bimbang mereka akan terjebak dengan penyalahgunaan dadah yang dicampur ke dalam minuman,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Polis Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff memberitahu, hasil maklumat dari rakan sejawatanya di Thailand permintaan terhadap penginapan hotel dan pusat hiburan turun mendadak sehingga 80 peratus.

Katanya, Polis Kelantan akan terus memperketatkan lagi rondaan bagi memastikan jenayah rentas sempadan terus dikurangkan pada masa akan datang.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Yusoff berkata, beliau akan terus berjihad melawan dadah yang menjadi penyumbang kepada kadar jenayah di negeri ini.

Katanya, jika masalah dadah berjaya diselesaikan secara asasnya kadar jenayah akan berkurangan.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Polis Kelantan akan menahan mana-mana individu yang menggunakan pangkalan haram untuk menyeberangi sempadan negara dan Thailand di sepanjang Sungai Golok, berkuatkuasa 1 Disember ini.

Mereka yang berbuat demikian akan ditahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155).-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya