SHAH ALAM: Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Datuk Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dilantik Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan beliau menggantikan Datuk Haris Kasim yang bersara pada 31 Januari lalu selepas memegang jawatan tersebut sejak 1 November 2021.
Pejabat SUK dalam kenyataannya berkata, Ahmad Fadzli seorang yang berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam sejak dilantik sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada tahun 1996.
“Pejabat SUK merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Ahmad Fadzli di atas pelantikan selaku SUK Selangor yang baharu. Ahmad Fadzli, 53, berkelulusan Ijazah Kedoktoran Pengurusan Perniagaan (DBA) dari Universiti Sains Malaysia (USM).
“Terdahulu beliau merupakan Pegawai Kewangan Negeri Selangor pernah menjawat jawatan sebagai Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Klang (MPK) pada tahun 2020, Ketua Kluster Pengurusan dan Inovasi, Institut Tadbir Awam Negara (Intan) Jalan Elmu pada tahun 2019, Timbalan Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM) pada tahun 2015 serta Pengurus Besar Yayasan Perak pada tahun 2012,” katanya, hari ini.
Tambah kenyataan itu, Ahmad Fadzli juga berpengalaman dalam Pentadbiran Daerah dan pernah menjawat jawatan sebagai Penolong Pegawai Daerah dan Ketua Penolong Pegawai Daerah di Pejabat Daerah & Tanah Perak Tengah serta pernah berkhidmat di Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
Turut berkuat kuasa hari ini adalah pelantikan Datuk Dr. Haniff Zainal Abidin sebagai Pegawai Kewangan Negeri Selangor baharu yang disempurnakan penyerahan surat pelantikan oleh Ahmad Fadzli di Pejabat SUK Selangor, pagi tadi.
Pejabat SUK Selangor turut merakamkan penghargaan kepada Haris atas khidmat bakti beliau dalam memperkasakan perkhidmatan awam di Selangor sepanjang tempoh memegang jawatan SUK. – UTUSAN