Ahli Parlimen perlu bijak buat kenyataan, elak timbul polemik masyarakat Islam - Mohd. Sharkar - Utusan Malaysia

Ahli Parlimen perlu bijak buat kenyataan, elak timbul polemik masyarakat Islam – Mohd. Sharkar

MOHD. SHARKAR SHAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Ahli Parlimen yang melafazkan sumpah untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan tidak sepatutnya membuat kenyataan yang mencadangkan supaya diwujudkan seorang menteri bagi hal ehwal bukan Islam.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, seseorang ahli Parlimen itu sepatutnya bijak membuat kenyataan demi mengelakkan polemik dalam kalangan rakyat khususnya umat Islam.

“Cadangan dinyatakan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui daripada DAP tidak sepatutnya keluar daripada seorang ahli Parlimen walaupun kenyataan itu dibuat di Dewan Rakyat.

“Dibimbangi ia boleh mencetuskan kemarahan dan ketegangan antara kaum. Jangan salahkan orang Islam jika membenci DAP kerana kenyataan itu boleh membangkitkan kemarahan rakyat.

“Selain itu, kenyataan tersebut juga boleh menimbulkan salah faham dan membuka ruang kepada manipulasi politik tidak sihat, Ahli Parlimen Raub sepatutnya lebih berhati-hati dalam berbicara,” tegasnya di sini.

Yu Hui ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada sidang Dewan Rakyat menyarankan supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecah dua.

Ahli Parlimen Raub itu dilaporkan berkata, dua menteri agama boleh membincangkan isu berkaitan secara lebih berkesan serta mengelakkan sebarang kontroversi tidak diingini.

Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, tanah air tercinta ini sudah lama menikmati keamanan melalui pendekatan sedia ada dan tiada keperluan untuk mencipta struktur yang berisiko menimbulkan perpecahan.

“DAP dan pimpinannya sepatutnya faham dan berpegang teguh kepada Perlembagaan Persekutuan yang jelas didalamnya mengandungi perkara berkaitan agama, bangsa dan negara.

“Jadi parti itu perlu memastikan sebarang kenyataan atau pun ucapan mereka perlu lebih cermat dan menjaga sensitiviti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN