KUANTAN: Lebih 100 ahli Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi, Daz Bikers di seluruh negara akan hadir pada Himpunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat yang akan diadakan di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini, esok.
Penaung Daz Bikers, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, sebagai rakyat Malaysia menjadi tanggungjawab semua pihak bersama-sama memartabatkan institusi beraja kerana ia adalah lambang kedaulatan negara.
“Rakyat Malaysia pelbagai kaum mesti menghormati dan mempertahankan kedudukan institusi beraja negara dan negeri ini kerana prinsip kesultanan sudah berakar umbi di nusantara sejak bertahun-tahun lamanya. Institusi beraja Malaysia begitu unik dan tidak boleh disamakan dengan mana-mana negara lain di dunia.
“Raja diibaratkan sebagai akar dan rakyat pohonnya. Kesetiaan kepada raja dan negara merupakan prinsip rukun negara yang bukan sahaja menjadi lafaz ikrar tetapi perlu dihayati dengan sepenuh hati.
“Ahli dan kepimpinan Daz Bikers akan terus taat setia kepada raja selaras cogan kata kelab, taat setia kepada raja,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Zulkifli Yaacob dalam kenyataannya dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan menganjurkan satu program yang bertujuan menunjukkan solidariti rakyat Pahang kepada institusi diraja Pahang.
Program ini manifestasi penyatuan rakyat negeri ini yang bernaung di bawah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan fahaman politik.
Ia akan diadakan pada esok bermula pukul 7 petang di Masjid Negeri dan dimulai dengan solat Maghrib, solat hajat, bacaan yasin, doa selamat dan solat Isyak.
Seterusnya, program akan diteruskan di padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 (MBK1) dengan ceramah oleh Timbalan Mufti Pahang, Datuk Badli Shah Alauddin.
Sultan Pahang turut berkenan berangkat bercemar duli menghadiri program di Masjid Negeri. – UTUSAN