Agong titah kerajaan bantu pekebun kecil, petani

Agong titah kerajaan bantu pekebun kecil, petani

KERAJAAN perlu membantu golongan pekebun kecil dan petani bagi memastikan keterjaminan makanan di dalam negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitah kerajaan untuk membantu golongan pekebun kecil dan petani bagi memastikan keterjaminan makanan di dalam negara ini.

Sultan Ibrahim bertitah bahawa kumpulan penternak dan nelayan juga perlu turut mendapat bantuan daripada kerajaan.

Seri Paduka Baginda bertitah, komitmen kerajaan diperlukan untuk memperkasa sektor-sektor yang terlibat dalam keterjaminan makanan.

“Saya menyeru kerajaan untuk terus membantu pekebun kecil, petani, penternak dan nelayan, serta mengambil tindakan proaktif bagi memperkasa sektor pertanian, komoditi dan rantaian bekalan makanan,” titah Seri Paduka di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, kos pesawah melonjak sebanyak 55 peratus akibat pelaksanaan penyasaran subsidi diesel sejak tahun lalu antara alasan utama kerajaan dituntut meningkatkan harga lantai pembelian beras kepada RM1,800 berbanding RM1,300 satu tan.

Jumlah itu disifatkan adil kepada pesawah bagi mengimbangi peningkatan kos yang ditanggung golongan tersebut pada setiap musim penanaman padi.

Sementara itu, Seri Paduka Baginda bertitah, agenda memperkasa ekonomi Bumiputera melalui kerjasama dan sokongan syarikat kerajaan mesti dilaksanakan.

Selain itu, Sultan Ibrahim menitahkan kerajaan untuk terus komited memberikan peluang kepada setiap rakyat untuk memiliki kediaman yang mampu dibeli.

“Penyediaan infrastruktur asas, kemudahan kesihatan, dan pendidikan hendaklah terus ditambah baik,” titahnya.

Baginda berharap langkah kerajaan melaksanakan agenda reformasi pendidikan, latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta pembangunan belia akan melahirkan generasi masa hadapan yang lebih berkualiti.

“Saya turut menyokong usaha pengukuhan nilai-nilai keluarga dan kesejahteraan masyarakat,” titahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya