PASIR PUTEH: Pesawah di negeri ini mahu agensi pertanian memberikan reaksi pantas terhadap setiap aduan dikemukakan mereka sebagaimana titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mahu kerajaan membantu golongan pekebun kecil serta petani bagi memastikan keterjaminan makanan negara mencukupi.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Semerak, Alias Mat Rani berkata, ia sekali gus membolehkan setiap aduan yang diusulkan dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin.
“Kami menjunjung kasih dan menyambut baik titah Seri Paduka. Besar harapan kami di sini supaya kerajaan dapat membina saliran bagi membolehkan petani kembali mengusahakan tanaman padi sebanyak dua kali setahun.
“Ketika ini kami hanya mampu mengusahakan tanaman padi antara setahun hingga dua tahun sekali sahaja disebabkan ketiadaan sistem saliran. Jadi besar harapan 200 pesawah di kawasan luar jelapang di bendang Beris Chalok dan Peraksi supaya masalah ini dapat diselesaikan,” katanya.
Alias berkata, jika masalah itu selesai, mereka dapat mengusahakan padi tiga kali dalam tempoh dua tahun sekali gus menyokong usaha kerajaan memastikan keterjaminan makanan negara mencukupi.
Sementara itu, Persatuan Pesawah Kelantan (Pesak) mendesak kerajaan memberi maklum balas segera berhubung permintaan petani yang mendesak harga belian padi dinaikkan kepada RM1,800 bagi satu tan metrik.
Pengerusinya, Zuha Ismail berkata, kajian semula harga lantai adalah perlu seiring kenaikan harga benih padi, baja tambahan dan upah bajak termasuk pengendalian jentera yang menggunakan minyak diesel tanpa subsidi.
“Sejak empat tahun lalu belian padi adalah RM1,300 satu tan metrik yang mana pesawah hanya mampu meraih pendapatan sekitar RM5,200 sehektar berbanding kos pengurusan sawah yang melebihi jumlah itu.
“Kita harap kerajaan khususnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengkaji semula penyasaran subsidi ini dengan meneliti masalah yang dihadapi pesawah. Permintaan pesawah seharusnya mendapat reaksi kerajaan,” katanya. – UTUSAN