TELUK INTAN: Kuih raya tradisional, agar-agar kering masih mendapat permintaan yang baik dan mempunyai peminatnya sendiri.
Ini memberi peluang kepada seorang wanita yang mengusahakan kuih itu, Khadijah Harun, 60, untuk menghasilkan pendapatan setiap kali menjelang hari raya.
Menurutnya, sejak memulakan perusahaan itu pada tahun 2000, permintaan kuih agar-agar kering setiap kali hari raya tidak pernah berkurang.
Katanya, walaupun pelbagai jenis kuih moden dijual di pasaran, kuih tradisional agar-agar kering tidak pernah dilupakan.
“Saya menerima tempahan kuih agar-agar kering untuk hari raya sehingga dari luar Perak terutama dari Selangor.
“Permintaan terhadap kuih tradisional agar-agar kering ini masih ada, tempahan diterima daripada pelbagai lapisan umur, bukan golongan berusia saja yang sukakan kuih ini.
“Malah rakan-rakan Sahabat AIM (Amanah Ikhtiar Malaysia) yang bukan Melayu pun sukakan kuih ini, ramai di antara mereka yang membuat tempahan,” katanya ketika ditemui di Kampung Bahagia di sini.
Khadijah berkata, agar-agar yang sudah dimasak perlu dijemur di tempat yang bersih sehingga tiga atau lima hari hingga kering.
Malah, katanya, tempahan kali ini agak tinggi iaitu sehinga 500 bekas atau balang berbanding 300 bekas tahun lalu.
Katanya, untuk menyiapkan tempahan yang banyak, dia dibantu anak-anaknya.
“Proses membuat kuih agar-agar kering ini tidak susah namun tetap ada cabaran iaitu untuk proses menjemurnya kerana keadaan cuaca yang tidak menentu, kerap hujan sejak kebelakangan ini.
“Untuk tempahan hari raya kali ini, saya buat awal untuk memastikan kuih dapat dijemur dengan baik,” katanya.-UTUSAN.