KUALA LUMPUR: Pembangkang dikritik selepas didakwa cuba menggambarkan Pakatan Harapan (PH) sudah melupakan perjuangannya terutama mengenai penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau juga boleh mengatakan Pas sudah meninggalkan hukum hudud apabila ketika 33 bulan memerintah Persekutuan tetapi undang-undang itu tidak dibangkitkan.
“Kalau soal diungkit dulu Tambun buat kenyataan kata (Sosma) kejam (dan) zalim, tetapi hari ini tidak (memansuhkan) umpamanya. Serupalah dengan sebelah sana (pembangkang) pun, negara Islam (serta) hudud nyawa kami tapi 33 bulan jadi kuasa, satu ayat pun tidak bentang dalam dewan ini.
“Saya boleh sebut sama, apakah komitmen Yang Berhormat (YB) sudah berubah dalam menegakkan negara Islam sebagai cita-cita perjuangan Pas? Apakah YB sudah berubah dari segi komitmen untuk melaksanakan hudud,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Saifuddin Nasution berkata demikian bagi menjawab Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang mempersoal komitmen kerajaan dalam pemansuhan Sosma.
Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas turut membangkitkan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang mengatakan Sosma lebih terus berbanding Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) pada 26 Ogos 2018.
Jawapan balas Saifuddin Nasution itu kemudiannya menyebabkan ahli-ahli Parlimen pembangkang bangun bagi mempertikai jawapan tersebut yang dianggap tidak relevan dengan soalan berkaitan pemansuhan Sosma.
Saifuddin Nasution berkata, beliau berjawab demikian kerana soalan yang dikemukakan oleh Takiyuddin bersifat politik.
“Saya juga boleh tanya apakah Pas sudah gugurkan cita-cita untuk melaksanakan (hukuman) hudud sedangkan ia merupakan nyawa (mereka). Dia (Takiyuddin) tidak akan kata dia gugurkan.
“Isu dia apa? Apakah kita sedia mengekalkan prinsip keadilan? Dalam soal ini Sosma ada kaitan dengan nyawa dan ketenteraman awam, komitmen kerajaan tidak pernah berubah untuk mempertahankan keutamaan ini,” jelasnya.