KOTA BHARU: Kira-kira 842 daripada 200,880 warga emas berusia 60 tahun dan ke atas secara sukarela telah mengambil suntikan influenza percuma setakat semalam sebagaimana ditawarkan oleh kerajaan ketika ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, ia bertujuan melindungi golongan berkenaan daripada terdedah dengan komplikasi serius akibat jangkitan tersebut terutamanya mereka yang berisiko tinggi.
“Setakat ini kami (JKNK) telah menerima sebanyak 3,600 dos vaksin influenza dan telah diagihkan kepada 57 buah klinik kesihatan terpilih.
“Oleh itu, JKNK menggalakkan semua warga emas untuk hadir dan mendapatkan suntikan imunisasi influenza ini secara percuma. Ini adalah satu langkah kecil tetapi memberi impak besar dalam menjaga kesihatan dan kesejahteraan diri,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr. Zaini memberitahu, suntikan imunisasi itu boleh didapati di klinik kesihatan terpilih di negeri ini.
Katanya, slot janji temu suntikan boleh diperoleh melalui aplikasi MySejahtera dan klinik kesihatan serta secara ‘walk-in’.
“Warga emas yang telah menerima suntikan dinasihatkan untuk datang ke klinik segera sekiranya terdapat sebarang gejala sampingan (AEFI),” ujarnya.-UTUSAN
-habis-