8,076 calon gagal hadir SPM 2024

8,076 calon gagal hadir SPM 2024

FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang tidak menghadiri kesemua kertas peperiksaan bertulis menurun daripada lebih 10,000 pada 2023 kepada 8,076 pada 2024 setakat 6 Februari lalu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, antara punca ketidakhadiran disebabkan bekerja, masalah keluarga, masalah kesihatan dan daripada jumlah tersebut seramai 6,231 orang adalah calon sekolah Kementerian Pendidikan.

“Kementerian Pendidikan memandang serius isu ketidakhadiran calon dalam peperiksaan SPM, dengan analisis kehadiran calon bagi peperiksaan SPM yang dilaporkan setiap tahun adalah berdasarkan calon sekolah KPM yang mendaftar sekurang-kurangnya enam mata pelajaran.

“Berdasarkan analisis daripada Aplikasi Pengurusan Ketidakhadiran ke Sekolah Semasa Peperiksaan, antara sebab utama ketidakhadiran calon ketika peperiksaan SPM 2024 adalah termasuk bekerja, masalah keluarga, masalah kesihatan, meninggal dunia dan berpindah ke luar negara,” katanya dalam jawapan bertulis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) yang menyatakan apakah punca utama yang dikenal pasti menyebabkan lebih 10,000 calon tidak hadir menduduki kertas Bahasa Melayu peperiksaan SPM 2024 dan bagaimana dengan status mereka serta apakah langkah intervensi yang telah dan akan diambil untuk menangani isu ini.

Bagaimanapun kata Fadhlina, data rasmi kehadiran calon bagi peperiksaan SPM 2024 hanya akan dikeluarkan pada hari pengumuman keputusan peperiksaan.

Beliau berkata, bagi peperiksaan SPM 2024, seramai 386,739 calon baru sudah mendaftar sekurang-kurangnya enam mata pelajaran, yang mana 345,129 daripadanya adalah calon sekolah Kementerian Pendidikan.

Justeru, bagi menangani isu ketidakhadiran calon menduduki peperiksaan SPM, kata Fadhlina pihaknya sudah melaksanakan intervensi antaranya memantau kehadiran murid ke sekolah secara harian melalui Sistem Kehadiran Murid (eKehadiran) dalam Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) agar memudahkan pihak sekolah melaksanakan intervensi.

Selain itu, mengaktifkan Task Force Intervensi Murid Berisiko Cicir SPM pada semua peringkat dan memantau status murid berisiko cicir melalui papan pemuka bertujuan untuk memastikan kehadiran calon dalam peperiksaan SPM dan mengoptimumkan tindakan intervensi yang bersesuaian.

“Turut dilaksana, melaksanakan aktiviti berfokus seperti Program Ziarah Cakna, sesi konsultasi ibu bapa, permuafakatan Persatuan Ibu Bapa Guru serta Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta.

“Kebersamaan dalam melaksanakan tindakan ini menunjukkan usaha yang optimum daripada semua pihak,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan turut memberi peringatan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah untuk memantau kehadiran murid ke sekolah dan peperiksaan SPM.

“(Turut dilaksana) bekerjasama erat dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jabatan Kebajikan Malaysia, Kementerian Kesihatan dan JPN bagi memastikan kelancaran pengendalian peperiksaan awam semasa musim tengkujuh atau bencana banjir,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya