74 sekolah di Perlis terima papan pintar, tingkat akses pendidikan digital

74 sekolah di Perlis terima papan pintar, tingkat akses pendidikan digital

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (empat dari kiri) berkenan menyempurnakan Majlis Peluncuran JLiDS di Hotel Putra Regency, Kangar, Perlis, hari ini. UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sebanyak 74 sekolah rendah di negeri ini menerima sumbangan papan pintar dan peralatan teknologi terkini menerusi Program Jamalullail Leads In Digital School Perlis (JLiDS).

Inisiatif program itu merupakan momentum ke arah meningkatkan akses pendidikan digital selaras dengan Dasar Pendidikan Digital Negara.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kemudahan teknologi itu dapat memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif, menyeronokkan dan penuh makna buat murid-murid. 

“Kualiti pendidikan khususnya di peringkat sekolah rendah merupakan asas penting untuk memastikan kebolehpasaran rakyat negeri ini pada masa hadapan,” titah baginda berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Peluncuran JLiDS di Hotel Putra Regency, di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli. 

Sementara itu, Fadhlina berkata, pelaksanaan program itu merupakan manifestasi dan komitmen tinggi semua pihak dalam membantu meningkatkan akses pendidikan lebih baik buat semua murid.

Beliau berkata, dengan bantuan peralatan teknologi itu, guru-guru dapat meningkatkan kualiti kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam suasana yang lebih dinamik. 

“Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menarik dengan menggunakan teknologi terkini menjadi platform terbaik buat murid bagi meneroka dunia digital yang semakin berkembang pesat,” katanya. 

Dalam perkembangan sama, Fadhlina berkata, inisiatif yang dilaksanakan ini juga dapat menyuntik semangat pendidik untuk terus berusaha dalam memberikan pendidikan terbaik, cemerlang dan berkualiti.

“Sekolah yang terlibat dengan program itu diharap dapat memanfaatkan sepenuhnya penggunaan papan pintar dan perisian yang dibekalkan itu. 

“Komitmen tinggi dan kerjasama erat antara semua pihak dalam menjayakan program ini akan membawa manfaat besar kepada murid serta menjadi pemangkin kejayaan pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya