KUALA LUMPUR: Seramai 55 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen (Imigresen) Kuala Lumpur dalam serbuan di Flat Taman Batu Permai, Jalan Ipoh, di sini awal pagi tadi.
Op Sapu pukul itu dijalankan bagi mengesan penempatan PATI dipercayai disewa warga asing.
Semasa serbuan, PATI cuba menyorok, melarikan diri selain terjun dari tingkat satu bagi mengelak dicekup Imigresen.
Difahamkan, unit rumah di flat itu mempunyai dua bilik yang disewa kira-kira RM600 ke RM750 sebulan untuk warga tempatan, manakala RM900 bagi warga asing.
Malah, ada beberapa keluarga warga asing yang sanggup menyewa bilik dengan harga RM350.
Ada juga warga asing yang ditahan memberi pelbagai alasan seperti lupa perbaharui dan pasport dipegang majikan selepas gagal mengemukakan permit atau pas sah.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap seramai 150 warga asing dalam operasi terbabit.
Katanya, seramai 55 individu disyaki PATI berusia lingkungan 2 hingga 55 tahun membabitkan 29 lelaki, 24 wanita serta sepasang kanak-kanak.
“Semakan mendapati mereka yang ditahan merupakan warga Indonesia serta Pakistan.
“Kes disiasat di bawah Akta Imigresen Peraturan-Peraturan 39b,” katanya.