KOTA BHARU: Kira-kira 500 kilogram (kg) emas dalam bentuk barangan kemas dibawa masuk ke Kelantan setiap bulan dan dijual premis-premis yang menjual barangan itu di seluruh negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Empayar Iman Sdn. Bhd. (Empayar Iman), Zulna Hashim berkata, maklumat itu berpandukan kepada jumlah anggaran yang diterima dari pengilang terutama di Pulau Pinang yang memproses barangan kemas.
“Selaku pihak yang menguruskan Taman Emas Malaysia (TEM) di Kota Bharu, kita mendapat maklumat bahawa kebanyakan pembekal emas di negeri ini aktif mengambil barangan kemas dari kilang-kilang di Pulau Pinang.
“Jumlah keseluruhan emas dibawa masuk ke Kelantan dari kilang-kilang mencecah 500 kg sebulan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran TEM di Bazar Tuan Padang di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Pengerusi TEM dan Akademi Emas Malaysia, Zulkifli Idris.
Zulna memberitahu, jumlah itu menunjukkan bahawa penawaran dari premis menjual emas dan permintaan terhadap barangan kemas oleh pelanggan di Kelantan sangat tinggi.
Katanya, beliau percaya gabungan bekalan barangan kemas di Selangor dan Kuala Lumpur pun tidak mampu menandingi angka di Kelantan.
“Perniagaan emas di Kelantan dilihat lebih mudah berbanding tempat lain kerana budaya membeli dan menyimpan emas sudah sebati dengan masyarakat di sini.
“Masyarakat di Kelantan khususnya golongan wanita kebanyakannya minat dengan barangan kemas. Jika tidak dipakai, emas itu pasti akan dijadikan simpanan,” ujarnya.-UTUSAN