KUALA LUMPUR: Sebanyak 473 lesen pengendali dan permit kenderaan barangan khusus telah digantung manakala lapan lesen pengendali dan permit kenderaan dibatalkan.
Menteri Pengangkutan (MOT), Anthony Loke Siew Fook berkata, jumlah itu dibuat menerusi 5,800 audit ke atas 3,202 syarikat sepanjang 2019 sehingga 2024.
Jelasnya, tindakan tu diambil berdasarkan kes kemalangan, dapatan dari Laporan Audit Pemeriksaan dan 12 Keselamatan (JISA) oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan aduan.
“MOT melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melaksanakan operasi bersepadu melalui perintah larangan pemanduan kenderaan barangan khusus sepanjang musim perayaan.
“Ini adalah bertujuan untuk mengelakkan risiko berlakunya kemalangan akibat percampuran trafik antara kenderaan berat dengan kenderaan ringan dan secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan kemalangan jalan raya.
“JPJ juga turut melaksanakan Audit Pemeriksaan dan Keselamatan (JISA) terhadap kenderaan perdagangan,” katanya pada sesi Penggulungan Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas mengenai penggunaan tayar celup, Anthony berkata, MOT melalui JPJ akan bekerjasama dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk melaksanakan penguatkuasaan bersepadu.
Kata beliau, langkah itu bagi memastikan kedai perkhidmatan tayar menjual tayar celup yang mempunyai pensijilan pematuhan terhadap standard mandatori seperti yang ditetapkan di bawah Kaedah-Kaedah kenderaan Motor (Pembinaan & Penggunaan) 1959.
“Terdapat tiga standard mandatori melibatkan tayar celup yang dikuatkuasakan oleh pihak JPJ iaitu Malaysian Standard (MS) 224, Peraturan United Nation (UN) R108 dan Peraturan United Nation (UN) R109,” katanya.