PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seramai 37 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam operasi penguatkuasaan di Pangsapuri Timur, Serdang, semalam.
Operasi yang dijalankan pada jam 12.10 tengah malam itu susulan aduan orang awam mengenai kehadiran PATI yang disyaki tinggal tanpa memiliki pas dan dokumen pengenalan diri yang sah di unit-unit kediaman pangsapuri berkenaan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi tersebut diketuai oleh Pengarah Bahagian Penguatkuasaan melibatkan 58 pegawai pelbagai pangkat daripada Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Imigresen Malaysia, Putrajaya.
“Dalam operasi ini, seramai 82 individu pelbagai warganegara telah diperiksa dan hasilnya 37 orang PATI yang berusia antara 19 hingga 50 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Mereka terdiri daripada warganegara Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Pakistan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, semasa operasi dijalankan di lokasi serbuan didapati didiami oleh ramai warga asing, terdapat beberapa individu yang enggan memberikan kerjasama sehingga memaksa pegawai operasi memecahkan pintu unit kediaman.
“Selain itu, beberapa warga asing juga dikesan bersembunyi di ruang siling bumbung dan tangki air, namun kesemua mereka berjaya ditangkap.
“Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan dan pelanggaran lain di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Semua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
Zakaria berkata, JIM akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap pihak yang menggaji atau melindungi PATI,” tegasnya.